Pages

Thursday, 18 December 2014

 MENGENDALIKAN STRES DI KALANGAN GURU

Kesemua faktor yang menyumbang kepada masalah stres di kalangan guru seharusnya diambil perhatian sepenuhnya oleh semua pihak seterusnya di atasi dengan cara yang palin sesuai dan berkesan. Sebagai tunggak pendidikan negara, guru sememangnya perlu bijak menangani segala isu pendidikan agar dapat mengawal stres. Oleh itu, guru perlu bijak dalam mengendalikan stres. Kegagalan guru untuk mengendalikan stres memberikan kesan negatif kepada kesejahteraan fizikal, mental dan emosi guru sekaligus menjejaskan profesion keguruan dan bidang pendidikan negara.

Stress dalam kalangan guru dapat dikendalikan dengan strategi berikut:

1 .      Kenal pasti reaksi emosional.
Apabila keperluan emosi dapat dikenal pasti maka seseorang guru boleh menangani stress dengan cara yang lebih positif. Contoh situasi, seorang guru perempuan tidak bersefahaman dengan pengetua di sekolahnya. Guru tersebut telah menangani stress dengan cara yang negatif, iaitu menengking pengetua itu. Setelah guru tersebut mengetahui keperluan emosi dalam dirinya, guru tersebut sedar bahawa tindakannya adalah kerana suatu masa dahulu ayahnya telah menggunakan pendekatan yang sama oleh pengetua itu, iaitu lagak bapa yang menghukum anaknya. Guru tersebut sedar bahawa dia inginkan pengetua itu menghargai beliau. Guru tersebut telah berhadapan dengan pengetua dan memberitahu perasaannya itu. Akhirnya, hubungan mereka berjaya dipulihkan.

2 .      Komitmen sosial.
Apabila berhadapan dengan stress, guru memerlukan sokongan daripada orang-orang di sekelilingnya. Oleh itu, komitmen sosial amatlah penting.


3 .      Kehidupan fizikal.
Stress menjejaskan kesihatan dari segi imunisasi tubuh. Oleh itu, seseorang guru harus tahu teknik yang berkesan untuk menangani stress terutamanya menjelang waktu-waktu tekanan memuncak seperti musim peperiksaan pelajar dan pertukaran pentadbiran di sekolah.
Pengetahuan dalam senaman rutin dan pelan makanan seimbang boleh membantu guru menangani stress. Seorang guru perlu memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan dan kecergasan diri. Perbanyakkan melakukan dan menyertai aktiviti yang menjurus kepada senaman berbentuk fizikal seperti aerobik dan bermain badminton serta melakukan secara beramai-ramai bagi menimbulkan suasana yang harmoni dan penuh gelak-ketawa.
Selain dari menjaga kecergasan diri, guru juga boleh bersosial dengan teman-teman rapat dalam masa yang sama untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat  tentang sesuatu isu.
Semua guru haruslah mengamalkan gaya hidup yang sihat dalam kehidupan seharian. Ini termasuklah menjaga soal pemakanan dengan pengambilan makanan yang seimbang serta banyak menghabiskan masa dengan keluarga dan mengelakkan gaya hidup yang negatif seperti merokok, minum arak, berhibur di kelab malam dan sering tidur lewat.


4 .      Intelek
Guru hendaklah bergaul dengan golongan yang memiliki tahap intelek yang serupa dengan mereka kerana aspek intelek boleh membantu guru menangani stress (Gold Yvonne dan A. Roth Robert, 1993).
Dengan menjadi guru tidak semestinya kita tidak perlu menambah ilmu pengetahuan terutamanya dalam mengetehui cara mengatasi stres. Guru seharusnya terus memperbanyakkan maklumat mengenai pengurusan tekanan dari pembacaan buku ataupun rencana akhbar mahupun menonton rancangan-rancangan berkaitan di televisyen. Lebih banyak maklumat yang diperolehi maka  lebih mudahlah untuk seseorang guru mengurus tekanannya.
Stress jika dibiarkan, boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik. Justeru adalah penting untuk mengubah diri individu untuk menangani stress dengan cara yang terbaik. Kenal pasti punca yang menyebabkan masalah tersebut dan ubah. Dengan mengetahui punca stress tersebut, individu bukan hanya meringankan masalah kini malah menghindarkan berulangnya masalah serupa pada masa akan datang. Contohnya, jika seseorang guru kecewa dengan perbalahan dengan pelajarnya, guru tersebut mungkin menyedari bahawa punca kekecewaannya itu bukan disebabkan oleh tingkah laku pelajar tetapi harapan yang tidak realistik guru berkenaan. Dengan mengubah standard yang ingin dicapai, guru tersebut akan mendapati bahawa tingkah laku pelajar tidak lagi mengganggunya.


Bagi mengatasi masalah tersebut juga, Goleman (1999) telah menyarankan lima faktor atribusi terhadap masalah stress atau burnout. Faktor- faktor tersebut ialah:
a) Kesedaran Kendiri (self-awareness)
b) Pengawalan Kendiri (self-regulation)
c) Motivasi Kendiri (self-motivation)
d) Empati
e) Kemahiran Sosial (social skills)
Faktor atribusi pertama iaitu kesedaran kendiri bermaksud kebolehan seseorang guru untuk mengetahui perasaan mereka dalam satu-satu situasi dan keupayaan mereka untuk memilih keutamaan panduan dalam membuat keputusan. Seseorang guru yang mempunyai kesedaran kendiri juga mempunyai penilaian yang realistik tentang keupayaan diri dan mereka mempunyai keyakinan diri yang utuh.
Pengawalan kendiri (self-regulation) dimaksudkan sebagai kebolehan mengurus emosi agar ianya memudahkan dan bukannya mengganggu dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Guru yang boleh mengawal diri mereka sentiasa berhemah dan boleh menangguhkan sementara perasaan negatif mereka. Guru sedemikian juga cepat pulih daripada tekanan emosi.
Guru yang mempunyai motivasi kendiri (self-motivation) berupaya menggunakan kehendak diri dalam menggerak dan memandu arah mereka untuk mencapai sesuatu tujuan. Motivasi kendiri boleh membantu seseorang dalam mengambil inisiatif dan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri. Individu dengan motivasi kendiri yang tinggi sentiasa tabah apabila menghadapi masalah atau dalam keadaan kekecewaan yang tinggi.
Empati merupakan faktor atribusi yang boleh membantu seseorang mengesan perasaan orang lain. Sifat berempati juga membolehkan seseorang guru melihat atau memahami sudut pandangan orang lain. Sifat ini juga boleh menjadi faktor pencetus dan penyubur kemesraan dan keserasian dengan individu dari pelbagai latar belakang. Individu yang mempunyai sifat empati boleh menyelami keperitan, kesusahan, kekecewaan atau keraguan seseorang terhadap sesuatu perkara. Rogers (dalam Corey, Corey & Callahan 1998) menyatakan bahawa seseorang yang boleh menunjukkan sifat berempati akan lebih mudah berinteraksi dengan orang lain terutama dalam proses membantu seseorang. Guru perlu memiliki sikap ini supaya dengan mudah memahami dan mendekati murid. Murid akan berasa selesa bersama guru dengan adanya kemahiran tersebut.
Faktor atribusi terakhir yang dicadangkan oleh Goleman (1999) ialah kemahiran bersosial (social skills). Beliau menyatakan bahawa faktor kemahiran bersosial ini membolehkan seseorang mengurus pelbagai emosi secara efektif dalam perhubungan. Mereka juga mampu mentafsir dengan tepat situasi sosial dan jaringannya selain daripada mahir memujuk dan memimpin. Seseorang guru yang mempunyai kemahiran bersosial yang berkesan juga mampu menjadi pakar runding yang baik disamping berkebolehan menyelesaikan konflik bagi mewujudkan kerjasama dan semangat berpasukan dalam bilik darjah.
Selain itu hubungan interpersonal yang baik juga perlu bagi guru antaranya berkongsi masalah dengan rakan sekerja, rakan sekerja sentiasa memberi kerjasama dan sentiasa mendapat galakan daripada pentadbir atau pengetua. Guru juga telah dibebankan dengan pelbagai tugasan pentadbiran yang telah menjadi rutin pekerjaan mereka, umpamanya mengisi borang, mengutip yuran, mengemas kini kedatangan pelajar, menyediakan laporan prestasi, menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan pelbagai lagi bagi memajukan pelajarnya.
Kyriacou (1987) juga menekankan bahawa stres yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal serta berupaya melemahkan secara signifikan kerjaya guru dan prestasi pelajarnya kerana stress menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para guru. Keberkesanan sesuatu pendidikan adalah bergantung kepada pengerak utama sistem ini iaitu guru-guru. Prestasi guru dan komitmen adalah penting bagi seseorang guru untuk membantu anak bangsa dalam memperolehi kejayaan.


sumber : http://jamilahmil.blogspot.com/2012/09/stres-di-kalangan-guru-faktor-dan- cara.html
               (19 Disember 2014)


No comments:

Post a Comment